KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia mengakhiri penyusutan selama tiga hari berturut-turut apabila ditutup lebih tinggi hari ini, didorong oleh belian saat-saat akhir ketika pelabur mengambil kedudukan masing-masing menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.94 mata atau 0.07 peratus kepada 1,449.32 – paras tertinggi harian berbanding 1,448.38, semalam.
Indeks utama itu dibuka susut 1.82 mata kepada 1,446.56 yang juga paras terendah harian pada 1,441.57 sesi tengah hari.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 521 berbanding 313 manakala 405 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,093 tidak diniagakan dan 47 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.63 bilion unit bernilai RM1.85 bilion berbanding 2.32 bilion unit berbanding RM1.71 bilion pada Rabu.
“Indeks-indeks utama serantau kebanyakannya mencatat prestasi negatif hari ini, menjejaki petunjuk semalaman Wall Street. Pelabur juga pada masa sama sedang dalam proses memberi reaksi terhadap data-data ekonomi Amerika Syarikat yang bercampur-campur.
“Dalam pada itu, saham-saham teknologi China mencatat kerugian ketara selepas konglomerat teknologi dan hiburan negara itu, Tencent Holdings Ltd mengumumkan untuk melepaskan kepentingannya.- Bernama