Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika hadir pada Majlis Pengumuman Calon Parlimen Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 01 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Fitch Solutions Country Risk and Industry Research meramalkan Barisan Nasional (BN) akan memenangi Pilihna Raya Umum Ke-15 walaupun masih terdapat “risiko ketara” bagi penggantungan Parlimen.

Ramalan itu berdasarkan kepada petunjuk keputusan pilihan raya negeri Melaka dan Johor yang menyaksikan BN telah mendapat semula momentum politik.

Selain itu, BN dilihat mempunyai kelebihan kerana menjadi komponen parti yang paling lama memerintah negara ini.

“Kelebihan ini memberi manfaat kepada BN bagi melunaskan manifesto kerana mempunyai lebih banyak pengalaman mentadbir yang sebenar berbanding gabungan politik lain.

“Selain itu adalah jangkaan realistik bahawa mereka akan dapat memenuhi janji mereka sebaik sahaja dipilih pada PRU15,” kata firma penyelidikan ini.

Fitch Solutions Country Risk and Industry Research merupakan sayap kepada Fitch Solution, agensi penyelidikan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Firma ini turut meramalkan kebarangkalian kemenangan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) adalah di bawah sedikit 25 peratus.

Ramalan ini kerana momentum PH telah menyusut selepas menang pada Pilihan Raya Ke-14, pada 2018.

“Meskipun sebahagian besar janji pilihan raya PH mempunyai unjuran kesan positif yang sama kepada ekonomi seperti BN tetapi PH didakwa membuat janji pilihan raya populis sahaja seperti penghapusan bayaran tol yang pernah dibuat pada pilihan raya lepas.

“Lagipun, golongan miskin di luar bandar tidak mungkin menggunakan lebuh raya dan mendapat manfaat minimum daripada janji ini. Sebaliknya pengguna melihat janji itu sebagai beban tidak langsung kerana kerajaan akan mengeluarkan perbelanjaan tambahan sekiranya bayaran tol dimansuhkan,” ujarnya.

PN pula menunjukkan prestasi buruk pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor dan ia percaya perkara yang sama akan berlaku pada PRU15.

Menurut firma itu lagi, ia menjangkakan kerajaan baharu BN akan membawa kepada campur tangan negeri yang lebih besar dalam ekonomi, termasuk pengenalan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan perluasan tindakan afirmatif berasaskan kaum.

Ia turut menjangkakan BN akan mentadbir secara relatif pragmatik dan meneruskan keterbukaan Putrajaya kepada pelaburan asing.

Ia berkata, pengenalan semula GST akan memberi petanda baik untuk tinjauan fiskal jangka sederhana negara. – MalaysiaGazette