17 pekerja terhidu gas bocor di ruang proses daging beku di sebuah syarikat proses makanan di Subang pagi tadi/Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR -Seramai 17 orang pekerja sebuah syarikat memproses makanan di Subang Jaya, Selangor diselamatkan daripada insiden kebocoran gas, hari ini.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata, bilik gerakan operasi negeri menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu jam 11.33 pagi tadi.

“Pemeriksaan awal mendapati gas dipercayai jenis nitrogen bocor di ruang memproses daging beku berkeluasan 15 X 60 kaki persegi.

“Ia mengakibatkan 17 orang pekerja yang berada di ruang itu mengalami mual akibat terhidu bau gas tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Norazam, kesemua pekerja berkenaan stabil dan hanya dua daripada mereka dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

17 pekerja terhidu gas bocor di ruang proses daging beku di sebuah syarikat proses makanan di Subang pagi tadi/Ihsan Bomba Selangor

Ujarnya, pihak bomba telah menutup valve paip utama saluran gas nitrogen itu manakala Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) turut terlibat mengesan dan menangani kebocoran gas tersebut.

Norazam menambah, pihak bomba masih meneruskan siasatan  di lokasi bagi mengenalpasti punca kebocoran gas tersebut.- MalaysiaGazette