KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negeri di sebelah pantai timur akan mengalami hujan lebat dan keadaan lembap sepanjang hari pada 19 November, iaitu hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Berdasarkan analisis model-model cuaca, MetMalaysia menjangkakan penumpuan angin di kawasan pantai Kelantan dan Terengganu, serta utara dan tengah Sarawak dijangka berlaku dalam tempoh 18 hingga 19 November 2022.
Keadaan ini berpotensi menghasilkan kejadian ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Lim Ze Hui berkata, beberapa negeri lain pula hanya akan mengalami hujan lebat atau ribut pada sebelah pagi sahaja namun tiada cuaca yang luar biasa akan berlaku pada hari berkenaan.
“Pada sebelah pagi, kita jangkakan di Kelantan, Terengganu, Selangor, Melaka dan Johor akan mengalami hujan pada sebelah pagi.. manakala di Sabah dan Sarawak melibatkan kawasan barat dan tengah Sabah serta utara Sarawak turut alami hujan di sebelah pagi.
“Bagi sebelah petang, hampir semua negeri di kawasan pendalaman Semenanjung termasuk di Kelantan dan Terengganu, kita jangkakan akan alami hujan dan ribut petir di sebelah petang.
“Begitu juga di kawasan pendalaman di negeri Sabah dan Sarawak, termasuk Kuala Lumpur, akan alami ribut petir di sebelah petang tapi tiada cuaca yang luar biasa berlaku pada hari itu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette sebentar tadi.
Ditanya sama ada cuaca itu akan menyumbang kepada banjir kilat atau tidak, beliau berkata, perkara itu perlu rujuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan terdapat pelbagai faktor berlakunya banjir yang teruk.
“Tempat lain akan hujan sekejap dari awal pagi seperti di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dan mungkin sekitar jam 10 pagi akan kembali cerah cuma di Kelantan dan Terengganu (pantai timur) mendung dengan hujan dan keadaan agak redup.
“Dari segi keadaan cuacanya, kita tak menjangkakan sesuatu yang luar biasa akan berlaku pada hari Sabtu ini, hanya cuaca yang biasa kita alami seperti hujan biasa dan ribut pertir biasa sahaja,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mengsyorkan kepada orang ramai akan pergi mengundi untuk keluar lebih awal bagi mengelak daripada hujan lebat.
Orang ramai boleh merujuk ramalan cuaca menerusi media sosial MetMalaysia atau laman web rasmi MetMalaysia iaitu https://www.met.gov.my/info/pru15/. – MalaysiaGazette