Tan Cheng Hoe. foto AFFAN FAUZI, 19 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe mengakui beliau masih belum terbayang pentas final buat skuad kendaliannya meskipun memiliki kelebihan dua gol menjelang pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2022.

Ini kerana beliau sedar Terengganu FC masih merupakan sebuah pasukan yang berkualiti terutamanya apabila beraksi di laman sendiri.

Pada aksi pertama yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi, Selangor berjaya membenam pelawat 3-1 hasil jaringan tandukan oleh Richmond Tetteh Ankrah, Herlison Caion dan Shahrul Nazeem Zulpakar.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, pengendali berusia 54 tahun itu memuji aksi yang ditampilkan anak buahnya.

Malah beliau memberitahu tidak pernah merasai pengalaman memperoleh jaringan hasil daripada tiga keadaan sama iaitu menerusi situasi sepakan sudut.

“Saya rasa prestasi secara keseluruhan yang menakjubkan daripada pemain-pemain. Mereka begitu bekerja keras dan begitu fokus, dapat menghentikan serangan-serangan daripada Terengganu.

“Sudah pasti saya rasa barisan pemain pertahanan juga memainkan peranan yang cukup penting dan tiga gol daripada sepakan penjuru, itu sedikit sebanyak memberikan kita keyakinan.

“Setakat ini itulah kali pertama saya merasai suasana tiga sepakan penjuru berjaya mendapatkan tiga gol. Sudah tentu itu bukan datang secara nasib, kita ada membuat latihan.

“Saya begitu yakin dengan (kemampuan) Mukhairi Ajmal. Kualiti hantarannya sangat baik, itulah sebabnya pertahanan dan penyerang kita dapat menjaringkan gol,” ujarnya pada sidang media selepas perlawanan berakhir.

Tan Cheng Hoe. Foto Facebook Selangor FC.

Meskipun memiliki kelebihan dua jaringan dan anak buahnya berada dalam mood terbaik untuk meneruskan momentum kecemerlangan, Cheng Hoe masih memandang tinggi kemampuan lawannya yang akan ditemui lagi pada Isnin depan di tempat lawan.

“Dalam bola sepak, perlawanan kedua kita ada lagi baki 90 minit, kita juga tahu kekuatan Terengganu apabila bermain di laman sendiri.

“Sebagai jurulatih, masih belum lagi selagi ada 90 minit walaupun dengan jaringan 3-1 bukan satu jaminan untuk kita layak ke final. Tetapi kita kena bertandang ke Terengganu nanti dengan keyakinan.”

“Kita pun tidak boleh memandang rendah perlawanan itu kerana kita tahu kalau kita lihat bahagian serangan Terengganu cukup kental dan serasi dari segi kombinasi mereka, cukup berbahaya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast