Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sedia berdepan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di mahkamah berhubung status projek tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion.

“Saya sedia jumpa Tuan Ibrahim di mahkamah,” katanya dalam ceramah mega Ayuh Malaysia, Kita Boleh di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), malam tadi.

Rafizi yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan menyatakan demikian berikutan tindakan Menteri Alam Sekitar dan Air itu memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap Rafizi.

Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, writ itu difailkan pada petang Khamis melalui peguamnya, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid.

Pada Isnin lalu, Rafizi pada sidang media menuntut penjelasan daripada Timbalan Presiden Pas itu berhubung rundingan terus untuk projek tebatan banjir Sungai Langat 2. – MalaysiaGazette