LIPIS – “Kalau dapat menolong orang, tolonglah betul-betul.”
Itu nasihat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sekiranya diberi kepercayaan untuk menjaga kebajikan rakyat.
Beliau telah menggalas tanggjungawab sebagai Menteri Besar Pahang ke -15 pada 15 Mei 2018 untuk memajukan dan memakmurkan bumi Pahang dengan tagline ‘Tiada Janji Lihat Bukti dan Pahang First.’
Pengalaman memikul tugas sebagai kerajaan negeri pembangkang semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) membuktikan hanya dengan bekerja keras Pahang dapat dibangunkan.
“Malahan proses semasa menjadi pembangkang menjadikan kekuatan untuk berdikari membangunkan negeri ini sehingga bertukar kerajaan.
“Jadi sangat penting jika kerajaan negeri perlu selari dengan kerajaan Persekutuan bagi memboleh rakyat menikmati kemudahan tanpa ada kekangan seperti kerajaan sekarang yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Pengerusi BN Pahang berharap rakyat terus memberikan sokongan dan mandat kepadanya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15 ) esok untuk terus memimpin dan membangunkan negeri ini.
Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai yakin dapat meraih sokongan rakyat berdasarkan trek rekod pencapaian kerajaan negeri selama ini.
“Saya juga mengharapkan agar rakyat di negeri ini memberi sokongan kepada saya dan pasukan saya supaya kita dapat bergerak sebagai sebuah pasukan yang mantap bagi kemajuan Negeri Pahang ini,” katanya.
Tambah Wan Rosdy yang dilahirkan pada 1 Oktober 1958, pelbagai hasil dan kejayaan digapai sepanjang pentadbirannya bersama barisan pimpinan Exco kerajaan negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.
ARTIKEL BERKAITAN
Orang Asli Pahang terus terbela bawah BN – Wan Rosdy
13,766 rakyat Pahang dapat surat kelulusan miliki tanah – MB
Manifesto BN Pahang bersandar bukti dan fakta – MB
“Angka tidak pernah berbohong, kejayaan pertama peningkatan kutipan hasil pendapatan negeri yang konsisten tahun demi tahun sehingga mencecah RM1.037 bilion ringgit pada tahun ini.
“Selain itu, kejayaan menarik pelaburan berjumlah RM20.56 bilion ringgit ke negeri ini dan pengurangan hutang kerajaan negeri daripada RM3.31 bilion ringgit kepada RM952.21 juta ringgit,” katanya.
Selain itu, kejayaan penyaluran bantuan dan program kebajikan kepada rakyat sebanyak RM77.95 juta menerusi Bantuan Prihatin Pahang, Program Kebanggaan Pahang, Program Pemerkasaan Wanita dan warga emas semula boleh diukur oleh rakyat.
Esok, seramai 1,115,670 pengundi biasa daripada 1,136,944 akan menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih di negeri ini yang menentukan hala tuju kepimpinan negeri ini.
Pada PRU14, BN memenangi 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala sembilan kerusi dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan lapan Pas. – MalaysiaGazette