Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap di hadapan 573 penerima penyampaian surat kelulusan pemberimilikan (Notis 5A) di Kuantan hari ini

KUANTAN – Seramai 13,766 penerima berjaya mendapat kelulusan atas permohonan mereka untuk memiliki tanah di Pahang menerusi Skim Tanah Rakyat sejak Januari 2022 hingga kini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua penerima yang layak telah menerima surat kelulusan pemberimilikan (Notis 5A) secara berfasa sejak awal tahun lalu.

Mereka diberi kelulusan bagi kegunaan tanah pertanian dan juga kediaman.

Tambah Wan Rosdy, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memastikan sebarang isu berkaitan permohonan pemilikan tanah dapat diselesaikan dalam kadar yang segera.

“Semua urusan yang berkaitan dengan pemberimilikan tanah ini perlu melalui prosedur yang agak rumit serta memerlukan masa. Ini kerana tanah merupakan sumber yang terhad dan kerajaan negeri perlu memastikan pembangunan tanah dapat dilaksanakan secara terancang dan sistematik bagi menggalakkan pelaburan secara komersial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyampaian surat kelulusan pemberimilikan (Notis 5A) di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehddin Ishak  dan juga Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Pahang Datuk Fadzilla Salleh.

Menurut Menteri Besar, antara keutamaan diberikan kepada pemohon yang masih belum memiliki kediaman sendiri dan kepada golongan yang ingin menambah pendapatan menerusi aktiviti pertanian.

Pada majlis yang sama, seramai 573 orang penjawat awam daripada perkhidmatan negeri dan persekutuan yang berkhidmat di negeri Pahang telah berjaya mendapatkan kelulusan ke atas permohonan untuk memiliki tanah kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berharap penerima mematuhi segala peraturan berkaitan pemilikan tanah dan mengingatkan selaku penjawat awam, mereka wajar memahami berkaitan peraturan dan undang-undang berkaitan tanah yang dimiliki.

“Saya juga ingin mengingatkan semua penjawat awam supaya tidak terlibat dalam kegiatan penerokaan tanah kerajaan secara haram.

“Sebaliknya selaku penjawat awam, kerjasama tuan-tuan dan puan-puan amatlah diharapkan untuk memberi maklumat berkaitan penerokaan tanah secara haram supaya kita mampu melaksanakan aktiviti pencegahan di peringkat awal,” katanya.– MalaysiaGazette