Adly Zahari

ALOR GAJAH – Pakatan Harapan (PH) Melaka optimis menang di Parlimen Alor Gajah jika peratusan keluar mengundi kekal memberangsangkan sehingga 6 petang ini.

Pengerusinya, Adly Zahari yang juga merupakan calon kerusi itu berkata, beliau terkejut melihat ramai pengundi di saluran empat dan lima di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal, di sini pagi tadi walaupun hujan lebat.

“Walaupun hujan lebat pagi tadi dan renyai-renyai ketika ini, saya lihat saluran undi anak muda agak panjang jadi dengan kesedaran ini kita harapkan peratusan keluar mengundi melebihi 75 peratus.

“Malah saya paling mengharapkan peratusan itu boleh mencapai 80 peratus…(dan) saya yakin kalau kekal begini rentaknya boleh mencecah 80 peratus.

“Memang itulah syarat kemenangan bagi PH di P135 (Parlimen Alor Gajah),” katanya.

Terdahulu, beliau dan isterinya Dalilah Awaludin tiba di Pusat Mengundi SK Durian Tunggal di sini jam 9.05 pagi untuk mengundi di saluran tiga pusat pengundian itu.

Adly dan isterinya Dalilah Awaludin mengundi di Pusat Mengundi SK Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka jam 9.16 pagi tadi.

Semalam, Timbalan Presiden PKR yang juga Pengarah Pilihan Raya parti itu berkata, PH meramalkan kemenangan majoriti mudah jika jumlah peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini, melebihi 80 peratus.

Jika jumlah peratusan mengundi adalah antara 70 ke 72 peratus, katanya, PH mampu menang lebih 90 kerusi Parlimen dan gabungan politik itu perlu membentuk jajaran baharu.

Pada PRU kali ini, Parlimen Alor Gajah yang merekodkan 93, 311 pengundi bakal menyaksikan saingan empat penjuru antara bekas Ketua Menteri Melaka itu dengan calon Barisan Nasional (BN) Shahril Sufian Hamdan, penyandangnya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dari Perikatan Nasional (PN) dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman (Pejuang- Berjasa).

Secara keseluruhannya, seramai 644, 645 pengundi biasa layak mengundi hari ini di semua 217 pusat mengundi di enam Parlimen iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Kota Melaka dan Jasin. – MalaysiaGazette.