TAMBUN – Seorang warga emas yang sudah genap berusia 92 tahun dua minggu lepas kelihatan begitu teruja dan bersemangat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Walaupun sudah uzur, tidak begitu jelas pendengaran dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak, namun itu langsung tidak melunturkan semangat Hazizah Yang Hassan untuk mengundi wakil rakyat di kawasannya.
Menurut anak perempuan Hazizah, Norainon Yahya, 65, ibunya sejak dua hari lepas telah beberapa kali mengingatkannya agar tidak lupa membawanya ke pusat undi di Sekolah Kebangsaan Tanah Hitam, Chemor di sini.
“Pagi-pagi lagi ibu bangun awal, sediakan kegemarannya dan meminta saya membawanya ke pusat mengundi pagi ini. Ibu saya tidak pernah lupa untuk menunaikan tanggungjawabnya yang satu ini sejak dulu lagi.
“Kami lapan adik beradik namun hanya tiga sahaja telah sejak kecil di ajar untuk menunaikan tanggungjawab keluar mengundi setiap kali pilihan raya bagi memastikan kita ada seorang wakil rakyat untuk menjaga kita pada setiap masa.
“Kerana itu juga, walaupun beliau uzur tetap mahu hadir sendiri dan mengundi,” katanya ketika di temui MalaysiaGazette pagi ini di SK Tanah Hitam di sini.
Seawal 8 pagi lagi, rata-rata pengundi terutamanya golongan warga emas dan OKU sudah mula membanjiri pusat mengundi bagi Parlimen Tambun di Chemor ini.
Walaupun sejak jam 6 pagi lagi hujan renyai namun golongan ini tetap tidak melunturkan semangat untuk mengundi.
Mengambil kira kehadiran warga emas dan OKU, sebanyak dua van ‘shutter’ dan juga dua pegawai kesihatan telah di tempatkan di sini bagi kemudahan pengundi di sini oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bagi Parlimen Tambun, sebanyak 46 pusat pengundian telah disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menampung 160,645 pengundi berdaftar kali ini.
Pusat pengundian akan mula di tutup sekitar jam 5 petang ini. -MalaysiaGazette