SHAH ALAM – Apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan tempat khusus untuk pengundi positif Covid-19, ramai membayangkan pesakit ini datang dengan memakai Pakaian Perlindungan Diri (PPE).
Bagaimanapun tekaan itu salah, apabila pengundi yang dikategorikan sebagai pesakit Covid-19 hanya datang dengan berpakaian biasa dan wajib memakai pelitup muka.
Itulah yang sempat dirakamkan lensa kamera Malaysia Gazette sepanjang berada di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 17, Shah Alam.
Semua sembilan pesakit Covid-19 yang datang ke pusat mengundi itu sejak dibuka dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, tidak ada seorang pun memakai PPE.
“Mereka ini pesakit Covid-19 yang tidak serius dan sudah hampir tamat menjalani tempoh kuarantin di rumah.
“Kebanyakan mereka pula disahkan positif Covid-19 daripada kit ujian kendiri, bukan menjalani saringan di hospital atau klinik.
“Kalau pesakit itu ditahap serius dan dikawal oleh pihak hospital, baharulah mereka akan dipakaikan PPE untuk ke pusat mengundi,” kata seorang pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang enggan namanya disiarkan.
Menurutnya, SPR ada menyediakan tempat khas untuk pesakit Covid-19 mengundi.
Katanya, pesakit itu akan memaklumkan kepada SPR terlebih dahulu sebelum sampai di pusat mengundi bagi memastikan mereka tidak berada pada jarak dekat dengan orang ramai.
“Pesakit ini selalunya akan datang bersendirian tanpa ditemani sesiapa. Apabila sampai di sini, mereka akan daftar nama dan terus di arah ke bilik yang dikhaskan untuk mengundi,” katanya.
Sementara itu, proses mengundi di Shah Alam dan Klang berjalan lancar sehingga jam 3.30 petang ini.
Hujan di sekitar dua daerah ini sejak awal pagi dan berlarutan sehingga pusat mengundi dibuka jam 8 pagi tidak menghalang orang ramai keluar mengundi.
Masing-masing dengan berpayung dan ada yang dibawa dengan kenderaan jentera parti, mereka beratur ke pusat mengundi untuk menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat.
Tinjauan MalaysiaGazette di dua kawasan itu turut menyaksikan berlaku kesesakan lalu lintas yang agak teruk kerana ramai menggunakan kenderaan persendirian untuk ke pusat mengundi berikutan hujan.
Bagaimanapun, cuaca kembali baik dan panas pada jam 11 pagi, membolehkan orang ramai keluar ke pusat mengundi masing-masing.
Di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Jenis (Tamil) Ladang Batu Ampat, warga Klang mula beratur sejak jam 7.30 pagi lagi, manakala di SK Seksyen 24, Shah Alam juga sesak dengan orang ramai yang beratur untuk mengundi.
Sehingga kini, proses mengundi di dua pusat mengundi sekitar Shah Alam dan Klang lancar dengan beberapa pegawai SPR dan anggota polis mengawal keadaan agar tidak kelam kabut.
Cuaca ketika ini juga cerah dan orang ramai mengambil peluang itu untuk menyelesaikan tanggungjawab masing-masing. – MalaysiaGazette