JOHOR BAHRU – Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mengakui orang Melayu telah menolak UMNO dan menyebabkan parti ini rebah.
Lantaran itu, katanya, semua pihak perlu berani membuat perubahan demi kebaikan masa depan UMNO.
Jika enggan, UMNO tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.
“Oleh itu, dengan rasa penuh hormat dan takzim, saya memohon supaya Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai presiden pada kadar segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak telah berjiwa besar meletak jawatan pada 2018.
“UMNO dan Barisan Nasional hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor sementara itu, kita tidak memenangi satupun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu,” katanya.
Onn Hafiz menegaskan, walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk beliau perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi mereka semalam.
Tegas beliau lagi, ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana kepimpinan UMNO tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi.
“Usaha untuk memulih dan memperbaiki parti ini perlu bermula sekarang. Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.
“Insya Allah tindakan berjiwa besar ini akan membantu kita mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti UMNO yang kita semua cintai ini.
“Segala pengorbanan mereka akan dihargai dan InsyaAllah, perjuangan ini akan diteruskan,” katanya.-MalaysiaGazette
Kunci kejayaan adalah Muafakat Nasional. Peluang ini diambil PN Pas dan mereka telah berjaya. Tahniah PN Pas payung baru utk org Melayu berteduh… Bye2 BN!