SEBERANG PERAI – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan kemenangan kerusi Parlimen Tasek Gelugor sebagai gelombang daripada anak muda.
Ia susulan beliau semalam merekodkan kemenangan selesa dengan majoriti sebanyak 12,252 selepas memperoleh 31,116 undi bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor.
Katanya, kemenangan itu di luar jangkaan dengan bilangan pengundi dilihat meningkat secara signifikan mencecah 83.83 peratus berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
“Kemenangan ini tidak akan berlaku kalau tiada gelombang dalam kalangan anak muda di Tasek Gelugor dan terus terang memang saya tak jangka keputusan sebegini.
“Bagi saya, kejayaan ini melambangkan kehendak dalam kalangan rakyat di sini yang mahukan perubahan serta kerajaan yang bersih stabil,” katanya kepada pemberita.
Wan Saiful mendahului empat pencabarnya iaitu Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor daripada (Barisan Nasional), Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan (Pakatan Harapan), Mohamad Akmal Azhar (Warisan) dan Datuk Dr Abdul Halim Sher Jung (Pejuang).
Muhamad Yusoff meraih 18,864 undi sekali gus berjaya memperoleh semula wang deposit, Nik Abdul Razak (16,547), Mohamad Akmal (179) dan Dr Abdul Halim (406). – MalaysiaGazette