KUALA LUMPUR – Majlis Profesor Negara (MPN) mahu proses membentuk sebuah kerajaan campuran atau gabungan yang stabil dapat dicapai segera berlandaskan perlembagaan dan lunas undang-undang negara.
Menurutnya, nasib dan masa depan rakyat dan negara tidak seharusnya diperjudikan dan menjadi taruhan. Malaysia harus mengelakkan diri dari terjerumus dalam krisis politik yang berlarutan.
Untuk itu para pemimpin parti-parti politik yang menang diharapkan dapat segera merundingkan sesama mereka dengan berpandukan matlamat untuk membentuk sebuah kerajaan baru yang stabil dan kukuh bagi menerajui negara untuk tempoh lima tahun yang akan datang.
Oleh itu, MPN menyeru semua pihak meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi lain-lain kepentingan yang sempit dan bersifat peribadi.
Lebih cepat kerajaan gabungan ini dapat dibentuk ianya lebih baik bagi negara memandangkan negara masih berada pada fasa pemulihan di samping berdepan dengan pelbagai cabaran besar terutamanya iklim ekonomi dan politik dunia yang tidak menentu.
“Sesungguhnya Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, cekap dan berkesan bagi memastikan negara berupaya mengurus dan menangani segala cabaran yang mendatang.
”MPN mendoakan semoga negara kembali berpadu ibarat biduk lalu kiambang bertaut. Kini masa untuk kita kembali mengorak langkah memacu kemajuan negara demi masa depan Malaysia yang lebih gilang gemilang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ia mengulas tentang keputusan PRU15 yang menyaksikan ‘hung Parliment’ kerana tiada parti politik yang berjaya memenangi kerusi dengan majoriti mudah.
Dalam pada itu, MPN menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah kerana PRU15 2022 telah berlangsung dengan baik dan lancar.
Berikutan itu, MPN turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan keselamatan, agensi-agensi yang terlibat serta semua parti-parti yang bertanding atas kesempurnaan proses PRU15 itu. – MalaysiaGazette