KUALA LUMPUR – Jika sudah ditentukan menjadi pembangkang, Barisan Nasional (BN) perlu berani menjadi pembangkang yang kuat untuk semak dan timbang kepada kerajaan.
Ketua Penerangan UMNO yang baharu, Datuk Isham Jalil berkata, kegagalan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mungkin ketentuan Allah supaya kita menjadi penyemak imbang kepada kerajaan untuk kepentingan rakyat.
”Ini adalah ketentuan Allah SWT, kita telah berikhtiar sebaik mungkin namun Allah yang menentukan segala-galanya.
”Melihat ke hadapan, kita perlu mencari jalan dan berusaha untuk memulihkan parti supaya ia diterima semula oleh rakyat pada masa akan datang. Sekiranya kita terus ikhlas dan jujur dalam perjuangan insya Allah, Allah akan bantu kita mencapai kejayaan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau yang kalah sebagai calon BN Parlimen Shah Alam berkata, UMNO adalah parti yang banyak berjasa kepada negara dan rakyat dan jika dipimpin menuju ke jalan yang lurus.
Beliau pasti akar umbi UMNO akan terus setia dan istiqamah dalam perjuangan alaupun dengan apa jua cabaran dan dugaan yang melanda seperti yang parti hadapi pada sebelum ini.
”Saya akan terus bersama tuan-tuan dan puan-puan dalam mencari dan mencapai penyelesaian dan pembaharuan sehingga kita berjaya memulihkan parti kita ini bersama-sama dan sehingga parti kita ini diterima semula oleh rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette