Ahmad Fadil Shamsuddin (kanan) dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu.

KUALA LUMPUR – Ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik diminta mengemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat nama seorang ahli  Parlimen yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang esok.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak diminta memaklumkan kepada Istana Negara gabungan parti parti politik yang telah dipersetujui antara mereka bagi pembentukan kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

”Ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bahawa titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang telah dijelaskan adalah muktamad.

”Seri Paduka Baginda menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan
tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.

“Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara.

”Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara serta semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara.

Terdahulu, beliau berkata, Istana Negara telah menerima keputusan rasmi PRU15 yang telah berlangsung semalam daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia pada jam 1.15 tengah hari, hari ini.

Dokumen yang telah dikemukakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Tan Sri Abdul Ghani Salleh menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu. – MalaysiaGazette