Tiada parti politik yang beroleh majoriti mudah pada PRU-15.

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) memang mengejutkan apabila tiada sebuah pun gabungan politik berjaya meraih majoriti mudah bagi membolehkan kerajaan baharu dibentuk.

Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) beroleh 82 kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN) sebanyak 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 kerusi dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi.

Keputusan di 220 kerusi telah diketahui manakala pilihan raya di Padang Serai dan Baram ditunda ke tarikh lain.

Walau apa pun keputusan di dua kerusi Parlimen tersebut, ia tidak mengubah hakikat bahawa tiada gabungan politik mampu membentuk kerajaan secara solo.

Mungkin itu mesej yang ingin disampaikan oleh para pengundi semalam iaitu mereka tidak mahu melihat sesebuah gabungan politik menjadi terlalu berkuasa.

Sebenarnya rakyat telah memberi peringatan sedemikian kepada parti-parti politik sejak PRU-12 sehingga PRU-14.

Pada PRU-12, BN tidak berjaya meraih majoriti dua pertiga walaupun memenangi 140 kerusi Parlimen.

Senario serupa berulang pada PRU-13 apabila tsunami politik yang melanda menyebabkan penguasaan BN dikurangkan kepada 133 kerusi.

Walaupun PH telah menumbangkan BN pada PRU-14, ia hanya mampu memenangi 121 kerusi dan kerajaan yang dibentuk terpaksa berdepan dengan pembangkang yang kuat.

Kesimpulannya, pada PRU-12, PRU-13 dan PRU-14, rakyat telah memberi mesej bahawa mereka tidak mahu mana-mana gabungan politik beroleh majoriti dua pertiga atau lebih di Parlimen.

Semalam, isyarat yang diberikan rakyat naik setakuk lagi apabila keputusan di 220 kerusi setakat ini menyebabkan situasi Parlimen tergantung.

Mahu tidak mahu, gabungan-gabungan politik yang ingin menjadi sebahagian daripada kerajaan perlu bekerjasama selepas pertempuran sengit sepanjang dua minggu berkempen.

Mungkin itu yang rakyat mahu lihat. Mereka inginkan semua parti politik berganding bahu dalam usaha memulihkan negara dan mengutamakan rakyat dalam setiap dasar yang bakal digubal.

Rakyat sudah jelak dengan politiking yang keterlaluan sejak empat tahun lalu sehingga menyebabkan Malaysia berada dalam keadaan tidak stabil dan ketinggalan berbanding negara-negara jiran.

Jika gabungan-gabungan politik yang besar tidak memahami atau sengaja buat-buat tidak faham, tidak mustahil rakyat akan memilih alternatif seperti parti-parti kecil dan calon-calon Bebas pada PRU akan datang.

Akurlah dengan pilihan yang dibuat oleh majoriti pengundi yang semakin bijak berpolitik dan lebih berani dalam membuat keputusan semasa pilihan raya. – MalaysiaGazette