Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa. Foto MUHD NA'IM, 18 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berlapang dada menerima kekalahannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, beliau juga bersyukur kepada Allah atas segala nikmat diberikan.

Mujahid yang Pengerusi Pakatan Harapan Perak berkata, keputusan tersebut adalah hasrat daripada kehendak pengundi di Parlimen Parit Buntar yang ditunjukkan dalam peti-peti undi mereka.

“Tahniah kepada pemenang Yb Ustaz Misbahul Munir daripada Perikatan Nasional dan syabas kepada calon-calon lain daripada BN dan Pejuang kerana telah menyertai gelanggang demokrasi dengan tulus murni.

“Terima kasih kepada SPR, Petugas Keselamatan dan semua pihak yang menguruskan proses pilihan raya yang berlangsung dalam suasana aman,” tulis di Facebook miliknya.

Mujahid tewas kepada Mohd Misbahul Munir dengan majoriti 5,395 selepas memperoleh 17,828 undi berbanding calon PN sebanyak 23,223 undi.

Dua lagi calon yang turut tewas ialah Imran Mohd Yusof dari BN yang memperoleh 11,593 undi dan Pejuang Rohijas Md Sharif dengan 259 undi.

Beliau yang juga penyandang kerusi itu turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan PH serta para petugas parti dan sukarelawan yang bekerja keras untuk memenangkan parti gabungan itu di Parlimen Parit Buntar.

“Walaupun kami telah berusaha keras untuk kekalkan kemenangan PH namun kita semua harus menerima ianya satu keputusan yang dibuat secara demokrasi berpilihanraya.

“Akhirnya marilah kita meneruskan agenda membentuk negara ini ke arah cita-cita bersama untuk Malaysia yang rahmah dan makmur. Kepada Allah jua kita berserah segala ketentuan dan ketetapan. Hasbunallah wa Ni’mal Wakil, Ni’mal Maula wa Ni’mal Nasir,” tulisnya lagi. – MalaysiaGazette