Datuuk Seri Hazani Ghazali . Foto MUHD NA'IM, 11 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai enam individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dan telah dihadapkan ke mahkamah.

Manakala empat lagi individu telah dijatuhkan hukuman atas kesalahan yang disabitkan berkaitan kempen PRU15, menurut Pengarah Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) PRU15, Datuk Seri Hazani Ghazali hari ini.

Katanya, PDRM telah menerima sebanyak 3,417 laporan polis sepanjang PRU15 sejak 4 hingga 20 November lalu.

“Daripada jumlah laporan itu, kita juga telah membuka sebanyak 508 kertas siasatan sepanjang tempoh itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

alam senarai kertas siasatan itu, Kontinjen Selangor mendahului senarai itu dengan sebanyak 86 kes disusuli 52 kes di Perak; Kedah (49); Pulau Pinang (44); Pahang (43); Kelantan (42); Sabah (38) ; Sarawak (33); Negeri Sembilan (31); Johor (29); Kuala Lumpur (21); Melaka (19); Terengganu (14) dan Perlis (7).

Tambah Hazani, sebanyak 149 kertas siasatan yang dilengkapkan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan pendakwaan.

“Kita telah melengkapkan 149 kertas siasatan dan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya, sebanyak tujuh kertas daripadanya telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA)/kemas untuk simpan (KUS).

“Malah, seramai enam individu telah dituduh di mahkamah di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sarawak manakala seramai empat individu telah dijatuhkan hukuman,” tegas beliau. – MalaysiaGazette