Ahli Dewan Negara Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini bercakap kepada media selepas selesai menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika di Istana Kinta, Ipoh, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 21 NOVEMBER 2022.

IPOH – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berkerjasama membentuk Kerajaan Negeri Perak.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memperkenaankan penubuhan kerajaan negeri selepas baginda menerima menghadap wakil-wakil parti di Istana Kinta hari ini.

Menurut Ahli Dewan Negara, Tan Sri Annuar Zaini, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan wakil Naib Pengerusi DAP PeĀ­rak, Dr. Abdul Aziz Bari yang mewakili PH telah menyembah maklum kerjasama tersebut kepada Sultan Nazrin.

Kedua-dua mereka turut memaklumkan kerajaan campuran itu mempunyai majoriti yang cukup iaitu 33 DUN untuk membentuk Kerajaan Negeri.

Sultan Nazrin turut menitah wakil Perikatan Nasional iaitu Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Setiausaha Perikatan Nasional, Datuk Zainol Fadzi Paharudin untuk menghadap.

“Untuk memuaskan dan bersikap adil Sultan Perak menitahkan supaya wakil PN oleh Razman dan Zainol Fadzi dititah menghadap dan Sultan Nazrin bertanya sama ada, memandang ada kerusi terbesar iaitu 26 DUN dan mempunyai keupayaan menubuhkan kerajaan.

“Kedua-dua mereka mengakui mereka tidak ada angka menubuhkan kerajaan dan memahami bahawa baginda bertindak mengikut undang-undang tubuh yang baginda mempercayai ADUN yang ada majoriti mudah diperkenan untuk dilantik sebagai MB.

“Oleh kerana wakil daripada PN tidak mengatakan mereka ada angka, Sultan berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan oleh wakil BN dan PN,” kata Annuar dalam sidang media selepas semua wakil menghadap Sultan Nazri di Istana Kinta.

Sementara itu Sultan Nazrin turut memperkenankan Saarani untuk dilantik semula menjadi menteri besar.

Saarani akan mengangkat sumpah menteri besar di Istana Iskandarian di Kuala Kangsar pada pukul 5.30 petang ini.

“Dan mereka hanya mengemukakan satu calon tunggal sebagai Menteri Besar Perak daripada kedua-dua pihak iaitu Yang Berhormat Kota Tampan iaitu Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Oleh kerana ada persefahaman secara terhomat PN terima keadaan itu dan penting DUN segera bersidang meluluskan Bajet, Sultan perkenan petang ini 5.30 istiadat angkat sumpah MB dilaksanakan di Istana Iskandariah,” kata Annuar.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu BN memperoleh sembilan kerusi DUN, PN (26) dan PH (24). – MalaysiaGazette