KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sedia berdepan tindakan dipecat daripada parti itu.
Hishamuddin berkata, pendirian beliau jelas bahawa tidak akan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Seperti saya tegaskan kelmarin, dan sebelum ini, tetap menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Saya rela dipecat oleh parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini,” katanya di Twitter.
Media hari ini melaporkan kesemua 29 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kecuali Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa mendatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Memetik sumber, laporan itu berkata, SD tersebut dipercayai ditandatangani dengan diuruskan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Awal hari ini, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Sanusi Md Nor mendakwa sekurang-kurangnya 18 Ahli Parlimen BN menyatakan kesediaan mereka menyokong Muhyiddin sebagai PM. – MalaysiaGazette