Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan hadir pada Mesyuarat Khas Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung untuk menubuhkan kerajaan.

Ini kerana mereka beroleh jumlah undi yang lebih tinggi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut beliau, BN bersedia menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dalam memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan baharu.

Walau bagaimanapun, kata beliau, jika bantuan BN diperlukan dalam waktu peralihan pasca PRU-15, BN tetap bersedia menyumbang kepada pembukaan bicara yang ikhlas dan terbuka.

“Kalau masih tak dapat juga tubuh kerajaan, tolong jangan salahkan kami. Ini hasil daripada proses yang demokratik, untuk memulangkan mandat kepada rakyat.

“Kami hanya menghormati keputusan itu.” katanya dalam hantaran Facebook miliknya malam ini.

Setakat hari ini, kerajaan baharu belum dapat dibentuk kerana tiada parti yang berjaya memperolehi majoriti mudah 112 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Keputusan di 220 kerusi Parlimen menunjukkan PH beroleh 82 kerusi diikuti PN (73 kerusi), BN (30 kerusi) manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti Warisan tiga kerusi, calon Bebas dua kerusi serta Parti Kesejahteraan Demoratik Malaysia (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing satu kerusi.

Ketika ini, PH dan PN berusaha ‘memancing’ sokongan BN bagi membolehkan salah satu gabungan politik itu beroleh majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Pada masa yang sama, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO memberitahu, BN menerima keputusan rakyat yang menolaknya.

Maka, menurut beliau, ekoran keputusan tersebut, BN tiada kuasa untuk menubuhkan kerajaan.

“Semoga Malaysia sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT jua,” jelasnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Ini pandangan bijak, ada maruah! Jangan jadi dungu untuk bersama2 tubuhkan sebuah kerajaan DAP! Parlimen tergantung bukanlah masalah UMNO. Jom jadi pembangkang yang bermaruah!!!

  2. Diharap kerajaan baharu akan reverse DEB/NEP aka Dasar Ekonomi Apartheid buatan kerajaan BN beri 30% ekonomi kepada majority pribumi Melayu supaya minority pendatang ekonomi expats bukan pribumi meraih 70% ekonomi.

Comments are closed.