Lokman Adam. Foto HAZROL ZAINAL, 24 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam percaya UMNO selaku parti tunjang Barisan Nasional (BN) mampu ‘menjinakkan’ DAP.

Jelas beliau, perkara itu tidak mustahil bagi memastikan wujud kerjasama untuk membentuk kerajaan yang menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Sebagai parti Melayu terbesar, kita mampu ‘jinakkan kawan-kawan’ DAP itu dan saya rasa kawan-kawan DAP yang menggantikan legasi Lim Guan Eng atau keluarga Lim ini macam Anthony Loke (Loke Siew Fook) ini lebih terbuka.

“Saya rasa mungkin UMNO boleh menjinakkan DAP sebagai sebuah parti untuk menerima Perkara 153, boleh menghormati kedudukan istimewa Islam orang Melayu, bahasa dan Raja-Raja. Tak mustahil,” katanya, hari ini.

Tambah Lokman lagi, UMNO tidak mempunyai pilihan lain bagi menyekat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada diangkat menjadi Perdana Menteri.

Justeru itu, beliau menggesa agar UMNO meletakkan syarat tertentu kepada PH sekiranya kerjasama tersebut terjalin.

“Pertama, UMNO akan jadi pengimbang kerajaan…kita tak mahu lagi DAP ‘berleluasa’ macam dulu. Kalau Anwar nak UMNO beri sokongan saya rasa presiden parti kena beritahu, kalau nak lantik pun menteri-menteri dalam kalangan DAP bagilah ‘tiga orang ke timbalan menteri pun tiga orang’.

“Kalau mereka lebih…orang akan marah pada UMNO, tetapi kalau mereka tengok orang UMNO lebih ramai dalam kerajaan, sudah pasti orang pun tak berapa marah,” katanya. – MalaysiaGazette