Abang Johari Tun Openg

KUALA LUMPUR – Tan Sri  Abang Johari Openg menyerahkan kemelut pelantikan Perdana Menteri baharu kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukan kepada baginda dalam Perlembagaan Malaysia.

“GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukan kepada baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh  Pejabat Premier Sarawak.

Bagaimanapun, katanya,  Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencadangkan penubuhan Kerajaan Malaysia terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Gabungan itu mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, menurut beliau dalam satu kenyataan daripada Pejabat Premier Sarawak.

Tegas beliau, mandat rakyat perlu dihormati.

Cadangan ini adalah sama yang disebut oleh Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dua hari lalu.

Dalam kenyataan awal itu, GPS turut mencalonkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

GPS juga menegaskan kepentingan negara adalah lebih utama dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi. – MalaysiaGazette