Zainol (dua dari kiri) dan Tham Soon melihat bungkusan dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan di Pulau Melaka awal pagi tadi.

MELAKA – Taktik sindiket dadah antarabangsa menjadikan Pulau Melaka dekat Melaka Raya di sini sebagai laluan baharu mengedar syabu ke luar negara gagal apabila ahlinya ditangkap dalam satu serbuan di pulau itu awal pagi tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, serbuan dilakukan sepasukan 18 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6, Johor kira-kira jam 12.10 pagi.

Menurutnya dalam serbuan itu, polis berjaya menahan sebuah kereta di tepi jalan dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun dan merampas dadah syabu seberat 23.1 kilogram dianggarkan bernilai RM834,768.

“Semua dadah itu dijumpai dalam bentuk 22 bungkusan berwarna kuning yang disimpan di dalam tiga beg galas berasingan dibawa lelaki berkenaan yang dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’.

“Risikan mendapati, aktiviti sindiket pengedaran dadah ini adalah untuk pasaran luar negara dan kita percaya ini adalah kali pertama mereka beroperasi di Pulau Melaka selepas lokasi biasa perairan Tanjung Kling sering ditumpaskan polis sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini. Hadir sama Timbalan Komander Briged Tengah PGA Asisten Komisioner Chew Tham Soon.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, keseluruhan dadah dirampas bernilai RM834,758 itu boleh digunakan oleh 115,720 orang penagih.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati, suspek negatif dadah namun mempunyai empat rekod jenayah lampau dan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 November untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“JSJN berharap masyarakat dapat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui talian hotline 012-2087222 untuk membantu pihak polis,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast