Anggota polis mula mengawal pintu 2 Istana bagi mengawal keselamatan berikutan pemimpin tertinggi parti akan hadir untuk mengemukan calon Perdana Menteri kepada ang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum pukul 2 petang ini ketika di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kawalan masuk ke laluan berhampiran Pintu 2, Istana Negara, diperketatkan bermula pagi tadi.

Sepasukan pegawai dan anggota polis dilihat melakukan pemeriksaan bagi setiap kenderaan yang menuju ke pintu utama.

Kenderaan yang tidak mempunyai tujuan rasmi diminta supaya berpatah balik ke arah Jalan Bukit Semantan.

Selain itu, anggota polis dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) turut tidak membenarkan mana-mana kenderaan diparkir di bahu jalan keluar dari Pintu 2, Istana Negara.

Sehingga jam 8.30 pagi kawasan khemah yang menempatkan pengamal media masih kosong.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk mengadap baginda di Istana Negara, hari ini.

Bagaimanapun, hasil mesyuarat malam tadi, BN akan memohon untuk menangguhkan sembah menghadap yang dititahkan oleh Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara esok.

Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Won dan Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata, BN minta penangguhan kerana perlu meneliti banyak perkara.

Ini kerana, BN masih mengekalkan pendirian untuk tidak menyokong Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.

Sementara itu, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin berkata, BN masih lagi dalam tempoh bertenang.

“Kita dalam ‘cooling period, kita bertenang kita tidak membuat apa-apa keputusan, bincang ada tapi keputusannya kita bertenang, bertenang daripada memikir.

“Kita ada 30 sahaja kenapa kita yang huru hara,” katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin semalam, sesi mengadap secara individu itu dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.