Status berbaur ancaman individu di dalam instagram yang tular ancam bunuh YDPA sebelum suspek berjaya diberkas polis di Kajang pada malam Selasa.

KUALA LUMPUR –  Seorang lelaki dicekup selepas bertindak biadap mengugut, mengancam bunuh Yang di-Pertuan Agong Al -Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta membantah kuasa baginda dalam pelantikan Perdana Menteri baharu di dalam media sosial.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamad berkata, suspek berusia 35 tahun yang ditahan itu merupakan pemilik Instagram yang menggunakan nama williamkhor 87.

Dia ditahan pada 21 November lalu, pada pukul 10.52 malam, di sekitar Kajang selepas Polis Kontinjen Selangor menerima satu laporan polis.

Katanya, laporan itu dibuat kerana pengadu tidak berpuas hati apabila terlihat satu klip video berdurasi 15 saat yang telah dimuatnaik oleh pemilik akaun Instagram berkenaan.

“Video berkenaan berbaur hasutan dan ancaman ke atas Yang di-Pertuan Agong. Individu itu juga didapati telah melabelkan salah satu kaum di negara in sebagai korupsi serta menghasut orang ramai untuk membuat demonstrasi membantah kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam pemilihan calon Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Suspek telah ditahan reman selama tiga hari mulai 23 hingga 25 November di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Kes berkenaan sedang disiasat lanjut di bawah Seksyen 4(1) Aka Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Aka Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Arjunaidi menasihatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang dan menghayati serta menghormati prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara ini.

Tegasnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuba mengganggu-gugat ketenteraman dan keselamatan negara dan akan diambil tindakan tegas mengikut peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. padan muka kena tangkap…
    harap pihak penguatkuasa akan ambil tidakan selanjut atas moton yg buat kenyataan tak masuk akal….

Comments are closed.