Zeti 1MDB
Zeti Akhtar Aziz

KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang sepatutnya memberi keterangan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak tidak dapat hadir hari ini.

Mahkamah menangguhkan keterangannya dalam minggu ini.

Ketika prosiding, mahkamah diberitahu oleh pendakwaan bahawa Zeti sakit, demam dan muntah sehingga diberikan sijil sakit selama tiga hari bermula hari ini.

Sijil sakit itu akan dikemukakan kepada mahkamah selepas ini.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Sequerah, pihaknya akan menyoal balas saksi-saksi lain dulu sementara menunggu Zeti kembali sihat.

Antara yang akan memberikan keterangan esok ialah bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.

Dalam pada itu, Collin turut bertegas kepada pasukan pendakwaan supaya memastikan Irwan hadir untuk memberikan keterangan kerana Joanna hanya akan disoal balas oleh pembelaan pada bulan depan.

Ketua pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bulan lalu mendakwa beliau mempunyai bukti rumah Zeti Aziz sering dikunjungi oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Ketika itu bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang memberitahu mahkamah, Zeti Akhtar mengetahui akaun Najib akan menerima sumbangan AS$100 juta daripada Arab Saudi pada tahun 2011.

Tek Kuang berkata, dalam pertemuan empat mata dengan Zeti Akhtar, bekas Gabenor BNM itu mengambil maklum mengenai perkara berkenaan serta memintanya dilakukan mengikut peraturan bank dan BNM sedia ada.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau  mana lebih tinggi jika didapati bersalah.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Ketika ini, Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah menyeweleng dana SRC International berjumlah RM42 juta dan hadir prosiding dari Penjara Kajang. 

Prosiding bersambung esok.- MalaysiaGazette