Dr Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Semua pemimpin politik di negara ini diminta jangan mengusutkan lagi keadaan negara sebaliknya akur pada titah Yang di-Pertuan Agong yang mencadangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu siapakah atau parti mana yang layak menerajui Putrajaya.

Felo Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, sikap tidak mahu mengalah dalam kalangan pemimpin politik untuk menyelesaikan isu ini langsung tidak menampakkan mereka hebat di mata rakyat.

Sebaliknya, tindak-tanduk mereka ini sedang dipantau dan dinilai terutamanya oleh golongan muda.

“Sudah lima hari Pilihan Raya Umum Ke-15 berlalu, sepatutnya Malaysia sudah ada kerajaan yang dibentuk jika semua pihak ‘move on’.

”Sayangnya, mereka ini tidak mahu perdamaian dan masih mahu terus berpolitik, walaupun pilihan raya sudah berakhir. Sebelum dan selepas pilihan raya hendak berpolitik jadi inilah masalahnya.

“Pada saya mereka ini tidak mempunyai sikap seorang negarawan, kalaupun gelaran ini terlalu besar – mereka sepatutnya ada sikap patriotisme kepada negara. Ada tanggungjawab yang perlu digalas kepada rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette

Menurut beliau, pertikaian yang berlarutan ini merupakan suatu peristiwa yang cukup sedih buat Malaysia.

Ia kerana, kegagalan Malaysia membentuk sebuah kerajaan bukan sahaja menjejaskan kedudukan pasaran Bursa Malaysia, nilai matawang ringgit jatuh tetapi yang lebih penting dan utama imej negara juga jatuh kerana satu dunia sedang melihat.

“Keterlaluan politiking sehingga tidak kisah berapa bilion negara rugi sehari, tidak peduli tanggapan negara lain pada Malaysia. Ini cukup sedih dan memalukan,” ujar beliau yang juga seorang pakar sejarah negara.

Mengulas lanjut mengenai isu ini, Kok Seong berkata, UMNO yang diketahui sebagai sebuah parti yang ego tinggi pun boleh akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, mengapa tidak pemimpin dari parti-parti lain.

Oleh itu, beliau menaruh harapan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu hari ini dapat menamatkan kemelut pembentukan Kerajaan Persekutuan, sekali gus membina Malaysia menjadi sebuah negara gemilang yang menjadi harapan 32 juta rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast