Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Siapapun yang bakal dilantik memimpin Malaysia, keutamaan dan fokusnya adalah memacu ekonomi kerana cabaran yang dihadapi negara semakin besar.

Jika ada keperluan untuk melakukan polisi-polisi baharu, walaupun termasuk membetulkan dasar-dasar sedia ada, ia perlu dilakukan meskipun tindakan itu menyebabkan kerugian dalam tempoh pendek asalkan boleh menguntungkan dalam jangka panjang.

Oleh sebab itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia perlu berada dalam keadaan stabil kerana jika berlaku sebaliknya pelabur tidak akan datang ke negara ini.

Kesannya nanti adalah peluang pekerjaan kurang, graduan keluar pusat pengajian tinggi tidak ada kerja, sekali gus menyebabkan lonjakan pengangguran.

Apabila ini berlaku, kuasa beli tidak ada dan kilang tidak boleh jual barang, justeru, kitaran ekonomi ini perlu dijaga berbanding memikirkan tentang ahli politik yang datang dan pergi setiap lima tahun.

“Tetapi ekonomi tidak putar putar ke belakang. Jadi, siapa pun yang mentadbir negara nanti, dia perlu bawa ekonomi ke depan. Cabaran sekarang sungguh besar.

“20-30 tahun lalu kalau sesiapa nak datang ASEAN ni kena datang Malaysia dulu. Ketika itu, kita tak dengar Indonesia, Filipina, Vietnam tarik pelabur tapi sekarang kita bersaing dengan mereka kerana mereka sedang membangun.

“Bila negara sedang membangun ni bersaing dengan kita, sudah tentu ia merupakan satu cabaran yang perlu ditangani oleh mana-mana pemimpin yang bakal memimpin negara kita,” katanya dalam wawancara bersama Buletin fm.

Ditanya sama ada ekonomi ‘Harimau Asia’ (Malaysia) sedang sakit, Johari berkata: “Dulu tak banyak ‘harimau, jadi bila keluar ‘harimau-harimau’ (Indonesia, Filipina, Vietnam) yang mempunyai kepimpinan sangat stabil, pemimpinnya fokus membangunkan negara.

“Sudah tentu kita ‘harimau’ sakit, nak mengaum pun tak dengar, kita tak boleh bernostalgia dengan kejayaan lepas,” ujarnya.

Tegasnya, sejarah tersebut (menjadi Harimau Asia) tidak boleh digunakan untuk menjadikan ekonomi Malaysia ke hadapan kerana tidak siapa tahu apa yang bakal berlaku pada masa depan.

Perubahan dunia begitu drastik, sangat pantas, justeru pemimpin perlu memastikan Malaysia berada pada kedudukan betul dan tepat, menurut beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan.

Oleh itu, katanya, semua pihak perlu berkorban kerana ekonomi negara sudah terjejas dan Malaysia sudah kebelakang.

“Kita tidak mahu Malaysia menjadi seperti Sri Lanka yang 10-12 tahun lalu ia bermula elok. Lepas 10-12 tahun, itulah yang berlaku pada negara mereka.

“Ekonomi ni bukan macam reverse (undur) kereta. Hari ni kita reverse kereta, esok kita ke depan, ia bergerak.

”Tetapi ekonomi ni kalau ia sudah mengundur, ia memerlukan 200, 300 peratus usaha untuk mengembalikannya pada mod pertumbuhan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette