KUALA LUMPUR – Himpunan Selamatkan UMNO yang sepatutnya berlangsung pada 2 petang ini di perkarangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) dibatalkan.
Sumber mengesahkan pembatalan tersebut memandangkan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ditubuhkan semalam.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan untuk mengadakan himpunan tersebut.
Walau bagaimanapun beliau berkata, anggota polis akan membuat pemantauan bagi memastikan keselamatan orang awam di kawasan tersebut terjamin.
“Kita tidak terima sebarang pemakluman dan kita tunggu dan lihatlah.
Tugas kita adalah untuk pastikan sebaik mungkin keselamatan terjamin,” katanya ketika ditemui membuat pemantauan di sekitar bangunan WTC.
Media menerima jemputan untuk liputan Himpunan Selamatkan UMNO, dipercayai daripada sekumpulan individu yang tidak berpuas hati dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi.
Perhimpunan berkenaan dijadualkan pada 2 petang ini.
Namun tinjauan awal MalaysiaGazette sehingga 3 petang ini mendapati WTC lenggang.
Menurut Noor Dellhan, seramai 260 anggota polis ditugaskan memantau keselamatan di kawasan berkenaan.
“Untuk mengawal keselamatan hari ini kita ada gunakan 30 pasukan yang mana 16 daripada Ibu Pejabat Polis Kontijen KL dan 14 daripada Bukit Aman,” ujarnya. -MalaysiaGazette