Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad

KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik bekas Perdana Menteri, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohamad menafikan rakaman audio yang tular adalah suaranya.

Beliau juga melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan penyebaran audio yang didakwa perbualannya dengan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sarif.

“Penularan audio palsu itu merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Mohd Fazmi juga menyifatkan tindakan itu membuktikan usaha berterusan untuk memusnahkan reputasi beliau sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Kesembilan.

Katanya, perbuatan menyebarkan rakaman audio palsu itu adalah konspirasi jahat dan terancang pihak tertentu untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi membuktikan bahawa rakaman ini adalah satu fitnah jahat.

“Saya berharap siasatan dapat dilakukan bagi mengenalpasti dalang yang bertanggungjawab di sebalik perbuatan ini,” katanya.

Rakaman audio yang tular itu antara lain berkisar mengenai usaha menjatuhkan membunuh kredibiliti Datuk Seri Najib Razak dan ia turut dikongsi di laman Facebook bekas perdana menteri yang kini menjalani hukuman penjara. – MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here