Mukhairi menjadi taruhan Selangor FC untuk melakar kejutan menjulang Trofi Piala Malaysia ke-34 untuk kelab tersebut yang memasuki edisi ke-96 tahun ini dari 101 tahun penganjuran kali ini. Gambar Fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR – Perancang tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal dijangka menjadi ancaman utama kepada Johor Darul Ta’azim (JDT FC) menjelang perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Impak pemain muda berusia 21 tahun itu semakin mencuri perhatian dalam kancah liga bola sepak tempatan sepanjang musim ini.

Malah Mukhairi bagaikan nadi kepada jentera tengah the Red Giants yang dikemudi bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe.

Kualiti teknikal yang dimiliki Mukhairi berjaya membantu Selangor terutama di pentas separuh akhir pertama apabila tiga jaringan terhasil melalui sepakan penjuru yang diambilnya.

Dia mempunyai visi yang baik dalam melakukan hantaran jauh dengan tepat kepada rakan sepasukan dalam situasi serangan pantas menjadikan pasukan JDT mempunyai tanggungjawab berat mengawasi pemain itu bagi mengelak gawang gol mereka diancam malam ini.

Kebolehan Mukhairi ini menjadi aset terbaik buat bintang muda tersebut untujk menjadi perancang utama Selangor bersama pemain berpengalaman, Brendan Gan.

Penampilan julung kali dalam pentas akhir Piala Malaysia malam ini, Mukhairi dijangka memainkan peranan penting untuk membantu the Red Giants menamatkan badi tujuh tahun untuk menjulang gelaran buat kali ke-34 malam ini.

Dalam pada itu, skuad Southern Tigers juga turun dengan senjata berbisa mereka Bergson da Silva yang dikenali sebagai mesin gol JDT.

Pemain itu mempunyai 39 gol sepanjang musim ini bersama JDT, malah penyerang berusia 31 tahun itu berjaya memegang rekod penjaring terbanyak sepanjang sejarah penganjuran Liga Super.

Jaringan 29 gol dalam Liga Super oleh Bergson berjaya mengenepikan jumlah jaringan yang dilakukan oleh Ifedayo Omosuyi dari Selangor FC iaitu sebanyak 26 gol pada musim 2021.

Penyerang warga Brazil itu sudah pasti akan menjadi ancaman kepada gawang lawan kerana berupaya menjaringkan gol dari apa jua situasi sama ada melalui kaki kiri atau kanan dan kepala yang akan memberi tugas berat kepada gawang lawan untuk mengawasinya dalam aksi final malam ini. – MalaysiaGazette