Muhammad Irfan Zainur mencium ibunya, Suriani Ismael selepas majlis konvokesyen baru-baru ini.

PAUH PUTRA – Berbekalkan semangat dan pendorong ibu yang bersusah payah membesarkannya empat beradik seorang diri menjadi penguat semangat kepada seorang siswazah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Siswazah Sarjana Muda Program Kejuruteraan Mekatronik Muhammad Irfan Zainur merupakan salah seorang penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Sidang Satu Istiadat Konvokesyen 16 UniMAP yang disampaikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP.

Muhammad Irfan berkata, ibunya Suriani Ismael menjadi satu-satunya sumber kekuatan bagi beliau dengan abangnya, Muhammad Zakri serta dua adiknya Muhamad Azrein dan Nurul Natasa apabila ayah mereka Zainur Bakudin yang
sebelum ini seorang tukang kasut meninggal dunia.

Ujarnya, mereka sekeluarga sebelum ini tinggal di rumah setinggan di Selayang namun berkat kegigihan ibunya yang berniaga di pasar tani demi memastikan kejayaan mereka adik-beradik berjaya mengeluarkan mereka sekeluarga dari kesempitan hidup.

”Abang juga menjadi sumber inspirasi saya dalam pelajaran kerana abang merupakan alumni Universiti Teknologi Petronas (UTP) lebih berpengalaman, malah antara pendorong kuat kepada saya memilih UniMAP sejak pengajian Diploma lagi,” katanya yang kini berjaya menempatkan diri sebagai Jurutera Perisian di Greatech Technology Sdn Bhd di Pulau Pinang.

Selain Muhamad Irfan, turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah siswazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Komputer), Wong E-Hong manakala Anugerah Pingat Emas Canselor pula diraih Norhidayah Mohd Rozi, Rachel Ooi Qian Yi serta Anugerah Pingat Emas Naib Canselor dianugerahkan kepada Muhammad Azman Muhamar Waren, Ang Si Wei, Ali Saleh Ali Al- Farzaeai, Mohammad Syafizul Zolkurnin dan Lim Jia Chyin.

Istiadat Konvokesyen 16 UniMAP yang bermula 21 hingga 24 November lalu menyaksikan seramai 3,066 graduan telah dan akan menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma meliputi lapan sidang.

Katanya, bagi sidang Satu yang berlangsung hari ini, sebanyak tiga Ijazah Kehormat, empat Anugerah Khas dengan 11 penerima, 56 Ijazah Doktor Falsafah dan 116 Ijazah Sarjana serta 243 siswazah Sarjana Muda Keusahawanan Kejuruteraan dari Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK). – MalaysiaGazette