Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR –  Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mendakwa kerajaan yang ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menggambarkan Kerajaan Perpaduan yang sepatutnya merangkumi semua parti politik.

Sebaliknya Presiden parti itu, Datuk Dr. Dominic Lau Hoi Chai berkata, kerajaan berkenaan dilihat hanya didominasi oleh Pakatan Harapan (PH).

“Pendirian PN seperti yang dikatakan Pengerusi (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan menjadi pembangkang dalam arena politik negara.

“Definisi kerajaan perpaduan adalah yang merangkumi semua parti politik, jelas ini adalah kerajaan PH bukan perpaduan oleh itulah kita akan memainkan peranan sebagai pembangkang,” katanya pada sidang media Pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), di sini, hari ini.

Semalam PN menegaskan akan menjadi parti pembangkang meskipun dipelawa Anwar untuk menyertai kerajaan perpaduan yang baharu ditubuhkan.

Kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ke-10 itu disertai PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Terdahulu, Dominic berkata, sebanyak 34 peratus pengundi kali pertama memilih Gerakan pada PRU15 baru-baru ini dan majoriitnya adalah dalam kalangan orang Melayu.

Beliau menyifatkan situasi berkenaan membuktikan bahawa ideologi PN yang turut dibawa Gerakan semakin diterima rakyat.

“PRU ini kita telah membuktikan rakyat menerima ideologi PN. Rakyat yang menyokong kita menolak rasuah, tidak mahu kleptokrat,” ujarnya.

Dominic beriltizam akan terus memberi penerangan ideologi yang dibawa oleh PN secara meluas termasuk kepada yang bukan Melayu.

“Walaupun ada yang bimbang dalam PN ada Pas, khususnya yang bimbang dalam kalangan bukan Melayu tapi mereka perlu faham dalam PN kita tidak serang agama dan kaum lain. Kita hormat Perlembagaan Persekutuan dan hak rakyat untuk beragama,” tambahnya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Aduhai.. kalu ade sekurang2nya 1 kerusi boleh la angkat muka tu.. baru nampak gerun sikit. Cuba lg ye pru16.

  2. Haaaaa…MUDA pun ada menang 1 kerusi…ni parti tong kosong ni bubarkan jer laaa..1 kerusi pun tak menang…lg banyak cakap

  3. pn mula diterima rakyat hanya kebanyakan pengundi 18 . mereka masih muda dalam politik . bila sebut islam dan melayu sokong lah kebanyakan nya. apalagi bila isu perkauman dimainkan oleh kaum ugama mereka anggap itulah ajaran islam . ph patut teliti pembelajaran islam disekolah sekara.g untok generasi akan data.g .

Comments are closed.