Jimmy Puah Wee Tse

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor memohon kerajaan negeri membenarkan wakil rakyat daripada parti itu terlibat sebagai ahli Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD).

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ia bertujuan menyelaraskan gerak kerja memandangkan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) sudah menjadi rakan sekutu di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“PH Johor akan menulis surat rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat. Saya harap atas budi bicara Kerajaan Negeri Johor khasnya Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen PH Johor untuk menjadi ahli JTPD dan terlibat dalam mesyuarat itu.

“Ini kerana kita sudah jadi rakan sekutu di Persekutuan dan memang ada keperluan untuk kita menyertai mesyuarat bulanan di pejabat daerah bagi menyelaraskan gerak kerja, saya harap Menteri Besar boleh mempertimbangkannya,” katanya kepada pemberita selepas Program Bertemu Pengundi di Parlimen Tebrau, di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Puah (PH-PKR) menewaskan Mohamad Isa Mohamad Basir (Perikatan Nasional-Bersatu) dan Datuk Nicole Wong Siaw Ting (Barisan Nasional-MCA) untuk menang di Parlimen Tebrau dengan majoriti 30,720 undi.

Pada 28 November tahun lepas, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dilaporkan menolak rundingan mengenai cadangan penglibatan wakil rakyat pembangkang sebagai ahli JTPD.

Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Hasni Mohammad dilaporkan berkata, kerajaan negeri telah mendapatkan penjelasan Kerajaan Persekutuan dan berdasarkan maklum balas daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, kedudukan ADUN dalam JTPD adalah merujuk kepada ADUN di pihak kerajaan.

Bagaimanapun, Hasni berkata, atas semangat sebagai rakan strategik, kerajaan negeri berbesar hati menjemput semua ADUN PH dalam mesyuarat JTPD sebagai pemerhati yang membawa maksud bahawa mereka akan dijemput hadir pada setiap kali mesyuarat JTPD. – MalaysiaGazette