Keselamatan di dalam dan luar stadium nasional Bukit Jalil telah dipertingkatkan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara JDT FC dan Selangor FC malam ini. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Para penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC diingatkan supaya tidak membawa bendera parti politik pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada malam ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, penyokong juga diingatkan agar sentiasa mengutamakan keharmonian dan tidak melakukan perkara yang boleh mencetuskan ketegangan semasa menonton perlawanan tersebut.

“Bendera mana-mana parti politik adalah tidak dibenarkan sama sekali untuk dibawa masuk ke dalam stadium, sebaliknya tunjukkan semangat kesukanan, bukan politik.

“Kita mahukan keharmonian ketika menyaksikan perlawanan bola sepak malam ini, apa sahaja situasi politik, kita mahukan ia tidak terbawa-bawa ke dalam sukan bola sepak, sukan ini menyatukan semua pihak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah beliau, seramai 80,000 penyokong kedua-dua pasukan dijangka membanjiri SNBJ.

Bagi menjamin ketenteraman di dalam dan luar stadium, Zam Halim berkata, seramai 1,400 pegawai dan anggota polis terlibat dalam tugas pemantauan di stadium tersebut.

“Polis akan melakukan pemeriksaan rapi di semua pintu masuk stadium meliputi pemeriksaan tubuh badan pada hari perlawanan.

“Penyokong diingatkan agar sentiasa menjaga tata susila dan mematuhi setiap arahan serta peraturan yang ditetapkan oleh polis dan pengawal keselamatan di kawasan stadium,” ujarnya. -MalaysiaGazette