Mohamad Norza Zakaria

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ternyata kecewa dengan prestasi hambar dipamerkan skuad kebangsaan pada Kejohanan Remaja Dunia BWF 2022 di Santander, Sepanyol baru-baru ini.

Mohamad Norza berkata, para pemain remaja seolah-olah selesa dengan kemudahan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini, seakan berada dalam dunia sendiri sehingga mengakibatkan mereka gagal menghidu saingan hebat dari negara luar dalam kejohanan itu.

“Secara peribadi, kita ini macam tidak berpijak di bumi nyata dan macam ada sindrom penafian dengan merasakan kita memiliki fasiliti terbaik di BAM namun kita sebenarnya lebih teruk daripada zaman pemain remaja berlatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil dahulu.

Pemain dan jurulatih harus mendukung budaya prestasi tinggi di mana kita tak boleh ingat ini adalah tempat makan lima kali, berlatih tanpa ada rasa kebertanggungjawapan kerana kos bukan murah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM kali ketiga tahun 2022 di sini, hari ini.

Susulan kegagalan di Sepanyol, beliau mengingatkan bahawa para pemain dan jurulatih termasuk Pengarah Pembangunan Remaja Datuk Misbun Sibek agar bermuhasabah diri dalam memastikan mereka sememangnya layak berada di ABM.

Sehubungan itu, beliau telah memberi tempoh sebulan kepada Ketua Pegawai Eksekutif ABM Michelle Chai dan Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Dr Tim Jones untuk melihat kembali struktur program latihan pemain muda sebelum dibentangkan Jawantankuasa Pengurusan BAM kelak.

Buat pertama kali, tiada pemain kebangsaan yang layak ke suku akhir bagi acara perseorangan di kejohanan remaja dunia dan pasukan negara hanya menduduki tempat kesembilan bagi acara berpasukan campuran.

Ini merupakan kali kedua berturut-turut Malaysia pulang dengan tangan kosong selepas edisi 2019 di Kazan, Rusia.

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia merupakan antara pemain yang pernah memenangi pingat pada Kejohanan Remaja Dunia BWF sebelum ini. – BERNAMA