Gambar hiasan

KOTA BHARU – Cuti khas sebanyak tiga hari pada hari sebelum, semasa dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah.

Susulan daripadanya, Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Tan Sri Low Kian Chuan berharap kerajaan baharu tidak lagi mengumumkan cuti khas, tetapi menumpu perhatian untuk meningkatkan prestasi ekonomi negara.

Kian Chuan berkata, statistik menunjukkan Malaysia mempunyai cuti umum kedua terbanyak di dunia.

“Bukan sahaja terdapat tiga cuti khas pilihan raya, sesetengah negeri juga mengumumkan cuti apabila pasukan bola sepak memenangi juara atau memasuki separuh akhir,” katanya.

Beliau dilaporkan Sinchew Daily sebagai berkata demikian semasa berucap dalam majlis ulang tahun ke-110 Dewan Perdagangan dan Perniagaan Cina Kelantan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kian Chuan berharap kerajaan dapat berusaha bersama-sama pihak-pihak berkepentingan untuk menambah baik ekonomi negara kerana prestasi Malaysia dilihat ketinggalan berbanding Vietnam, Indonesia dan Filipina.

Beliau juga berharap Kabinet yang berprestasi tinggi dapat dibentuk dan kerajaan dapat mentadbir berpandukan nilai kesederhanaan untuk memajukan negara.