Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Pablo meraikan kemenangan selepas pasukannya berjaya menewaskan pasukan Selangor FC yang berkesudahan dengan jaringan 2-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Misi mencapai kejayaan secara berterusan sangat sukar namun berjaya dicapai dengan kerjasama semua pihak di Johor Darul Ta’zim (JDT FC).

Itu reaksi gembira Ketua Jurulatih Skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio yang merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh pasukan yang membantunya menjayakan misi meraih kejuaraan treble musim ini.

Pengendali warga Argentina itu menyifatkan beliau tidak mungkin mencapai kejayaan tanpa kerjasama keluarga JDT terutama sekali pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurutnya. Tunku Ismail telah memainkan peranan yang sangat besar dalam menstruktur pasukan dengan segala kelengkapan bagi mencipta kejayaan gemilang itu.

Tengku Mahkota Johor ( TMJ) Tunku Ismail Ibrahim meraikan kemenangan bersama jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Pablo selepas berjaya menewaskan pasukan Selangor FC yang berkesudahan dengan jaringan 2-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 NOVEMBER 2022.

“Pertama sekali saya perlu berterima kasih kepada bos (Tunku Ismail), terima kasih kepada semua staf dan pemain kerana mereka banyak membantu saya.

“Sebaik saya mengambil alih tugas melatih skuad Southern Tigers, ia menjadi saat yang sukar untuk diri saya apabila anda perlu menuju ke arah hala tuju yang sama dalam mencapai kejayaan cemerlang.

“Ia satu misi yang sukar tetapi kerjasama semua staf dan pemain dalam skuad sejak awal lagi telah banyak membantu saya untuk melaksanakan tugas dengan mudah dan teratur seperti dirancang selain saya sangat teruja dengan balasan (pencapaian piala ) yang diberikan oleh pemain atas padang,” katanya.

Bidoglio berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Dalam aksi yang penuh sengit itu, JDT telah bangkit menebus kekalahan musim lalu dengan menewaskan Selangor FC 2-1 dan menjulang Piala Malaysia buat kali ketiga selepas 2017 dan 2019.

Justeru pencapaian berkenaan juga menjadikan JDT mencipta sejarah memenangi kejuaraan treble buat kali pertama selain menjadi pasukan pertama dalam sejarah penganjuran liga Malaysia merangkul kesemua empat piala yang dipertandingkan pada satu musim ini atau quadruple iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Liga Super dan akhirnya Piala Malaysia malam tadi.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Leandro Sebastian mengucup piala selepas berjaya menewaskan pasukan Selangor FC yang berkesudahan dengan jaringan 2-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 NOVEMBER 2022.

Selain itu, menerusi pencapaian terbabit JDT juga berjaya mengekalkan status pasukan paling kebal apabila tidak kalah dalam semua pertandingan tempatan sepanjang musim ini.

Kejayaaan itu menepati keazaman Bidoglio sehari sebelum perlawanan akhir itu yang mahu memastikan pasukannya mencipta kejayaan muncul sebagai kelab pertama yang merangkul semua piala kejohanan pada musim ini.

Pada edisi tahun lalu, JDT telah dikecewakan 2-0 oleh Kuala Lumpur City FC dalam pentas akhir kejohanan itu.

Dalam pada itu, Herlison Caion De Souza Ferreira yang diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir malam tadi berkata, musim ini merupakan paling gemilang untuk diri dan rakan sepasukannya kerana menyapu bersih kesemua empat piala dalam satu musim tanpa merekodkan kekalahan.

“Ini satu motivasi dan momen yang sangat manis untuk diri saya serta semua pemain serta keluarga besar JDT.

“Bukan mudah untuk kami sampai ke tahap ini kecuali bantuan dan latihan yang efisien daripada ketua jurulatih serta sokongan padu pemilik kelab ini dan kepercayaan yang diletakkan ke atas kami pada akhirnya tidak dikecewakan malam ini.

“Kami tidak mahu berhenti setakat ini dan mahu meneruskan tradisi kegemilangan ini bersama JDT untuk musim-musim yang mendatang,” tegasnya.

Ditanya mengenai anugerah pemain terbaik perlawanan akhir yang dirangkul, jelasnya anugerah itu hasil kerjasama dan titik peluh semua rakan sepasukannya.

“Saya bukan penyerang handal seperti rakan sepasukan saya Bergson da Silva tetapi saya gembira dapat menggunakan keupayaan saya dan menyumbang gol kemenangan untuk pasukan malam ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette