IPOH – Datuk Saarani Mohamad menafikan dirinya ‘diikat’ DAP selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bentuk kerajaan negeri bersama.
Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Perak itu menegaskan, semua perkara perlu dibincangkan bersama dan mengelak isu-isu menjadi perbalahan sebelum ini.
“Jangan ada kata saya lebihkan Melayu, Cina dan India, yang penting kita bangunkan negeri.
“Saya sudah ingatkan rakan-rakan Exco untuk bangunkan Perak, minimumkan politiking termasuk kepada Nga Kor Ming (pemimpin DAP),” ujarnya dalam interbiu bersama MalaysiaGazette yang disiarkan malam tadi.
Menurut Saarani, apa yang menjadi taboo. rintangan dan halangan antara BN dan DAP selama ini tak perlu diperbesarkan.
“Berkaitan Perkara 153 Perlembagaan, Kanun Negara, agama Islam tak payah sentuh. Benda-benda ini punca berantakan dan Nga bersetuju tidak sentuh,” katanya lagi.
Saarani berjanji akan mengambilkira semua pandangan kerana mengakui kerjasama dengan DAP sememangnya ditakuti oleh majoriti Melayu di Perak sebelum ini.
Bagaimanapun Saarani berkata, beliau dan BN akan tetap mempertahankan Melayu.
Menurutnya, lebih baik beliau mempertahankan Melayu di dalam kerajaan daripada membiarkan PH atau DAP menguasainya.
Menurutnya, jika ia berlaku, pandangan BN dari luar tidak akan didengari.
“Pada saya, dengan berada pembangkang dan DAP jadi kerajaan lebih bahaya berbanding saya bersama jadi kerajaan dan boleh berunding.
“Kalau DAP bermaharajalela, lebih baik bersama mereka berunding mengurangkan keghairahan dia. Saya yakin tindakan saya, saya bukan masuk DAP atau PH, bersamanya saya ada peranan dalamnya mudah selamatkan Melayu berbanding dari luar,” katanya.
Saarani berkata, ia mungkin mencipta sejarah yang akan melihat sekurang-kurangnya BN berjaya memujuk Kor Ming tidak membangkitkan isu sensitif.
“Tapi takkan saya tak bangkit kalau ada isu burukkan Islam, sebagai MB saya bersuara,” katanya.
Ketika ditanya beliau berkata, walaupun tidak ada perjanjian bertulis dengan PH namun perkara itu sudah jadi persetujuan bersama ketika kedua-dua parti itu menubuhkan kerajaan.
“Insya-Allah, saya tak jadi boneka dalam Exco,” tegasnya.
Sama ada perlu Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mengusulkan undi percaya terhadapnya sebagai Menteri Besar, Saarani berpendapat ia tidak perlu.
“Okay, sidang DUN akan bermula 19 Disember ini, hari pertama majlis angkat sumpah ADUN diikuti pengundian speaker.
“Ada proses pengundian, sekiranya mengundi calon BN kalah, ia macam undi tak percaya kepada sayalah dan saya akan berundur,” katanya.
Begitu juga jika belanjawan dibentangkan tidak mendapat undian PH maka ia seakan-akan undi tak percaya kepadanya juga.
Saarani juga berkata, dakwaan mengatakan jika BN bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) hanya akan ‘membunuh’ UMNO ada benarnya.
“Hujah itu ada asasnya, dalam PN ada Bersatu dan Pas, parti malay base, BN pun sama jadi takkan berebut kawasan yang sama.
“Jika UMNO bersama PH mungkin lebih baik, tak mungkin DAP bertanding di Lengong? Politic is art, dia diamik,” katanya.
Saarani juga menegaskan, kerajaan negeri baharu itu juga akan meneruskan Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Ia bukan pelan saya seorang sahaja, ia dari seluruh lapisan masyarakat termasuk pembangkang yang ada PH dulu dan kita bersetuju melaksanakannya dalam masa lapan tahun,” katanya.- MalaysiaGazette