Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Aminuddin Hashim (tengah) menyerahkan Anugerah Saintis Muda Negara 2022 kepada penerima, Dr. Ang Wei Lun (tiga kanan) pada Majlis Penutupan Program Pertandingan Malaysia Techlympics Peringkat Akhir Kebangsaan di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Program Techlympics merupakan pendekatan holistik yang membolehkan pelajar dan belia bersaing serta saling berhubung bagi mewujudkan kerjasama dalam menonjolkan hasil inovasi masing-masing.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi kenyataan berkata, ekosistem Techlympics juga memberi latihan berkaitan komunikasi perniagaan supaya generasi muda turut dilengkapi keupayaan bagi membawa idea mereka ke peringat lebih tinggi.

Katanya, melalui program Techlympics ini, MOSTI menyasarkan penjanaan lebih kurang 2,000 idea yang mempunyai potensi untuk dibangunkan ke arah pengkomersilan.

“Usaha ini dapat menyokong pelbagai usaha MOSTI seperti melahirkan 5,000 syarikat pemula (start up) menjelang tahun 2025.

“MOSTI percaya menerusi penerapan serta pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di kalangan rakyat khususnya generasi muda, golongan ini mampu menjadi tulang belakang dalam merancakkan sektor ekonomi khususnya menerusi bidang inovasi dan teknologi sekaligus, menjadikan Malaysia sebuah negara bersaing dan lestari.

“Maka, program Techlympics yang julung kali diadakan diharap dapat merealisasikan hasrat ini,” demikian menurut kenyataan tersebut.

MOSTI berkata, program yang telah berlangsung sejak April hingga November itu mendapat sasaran sejuta penyertaan daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi serta golongan belia.

Tambahnya, program berkenaan turut melibatkan jangkauan keterangkuman Malaysia Techlympics di mana latihan berkaitan teknologi terkini telah didedahkan kepada pelajar serta guru-guru.

Aktiviti ini telah dijalankan di 66 lokasi di seluruh Malaysia menerusi pelbagai aktiviti sains di reruai pameran.

Malah, program itu telah melibatkan pelajar dan belia di kawasan bandar, luar bandar, Orang Asli serta warga kelainan upaya, katanya.

“Para pelajar dan guru telah didedahkan kepada teknologi dan aplikasi terkini seperti teknologi robot, dron serta aktiviti interaktif secara amali atau praktikal.

“Sepanjang tempoh pelaksanaannya, hampir 6,000 guru telah dilatih melalui kursus Latihan Tenaga Pengajar atau Taining of Trainers dalam usaha meningkatkan kemahiran para guru dalam bidang-bidang terkini STI dan pendidikan tidak formal STEM,” tambahnya.

Dalam pada itu, MOSTI berkata, sepanjang tempoh penganjurannya, Malaysia Techlympics 2022 telah melakar beberapa pencapaian yang tersendiri.

Ujarnya, ia telah menarik lebih 1.03 juta penyertaan terdiri daripada peserta berumur tujuh hingga 30 tahun di mana program berkenaan turut mencapai 26.9 juta jangkauan digital menerusi laman sesawang Techlympics dan pelbagai palform media sosial meliputi Facebook, Instagram dan Tiktok.

“Pencapaian ini adalah amat memberangsangkan dan menunjukkan bahawa minat generasi muda negara terhadap bidang STI masih tinggi dan ini telah menguja MOSTI untuk meneruskan prohram ini pada tahun depan,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette