Kredit Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak untuk menggunakan sebuah kenderaan jenis Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum beliau  memasuki pejabat.

Langkah tersebut, katanya,  diambil kerana beliau tidak mahukan sebarang perbelanjaan baru dibuat ke atas dirinya.

“Sebaliknya, saya telah membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengangkat sumpah jawatan Khamis lalu dan memulakan tugas di Perdana Putra pada Jumaat lalu.

Hari ini (Ahad), beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022 di Pejabat Perdana Menteri.

Anwar dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri selepas Pakatan Harapan yang memenangi 82 kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 bergabung dengan Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak bagi membentuk kerajaan Persekutuan. – MalaysiaGazette