Dr Khoo Peng Chuan (dua dari kanan) bersama pemenang ATC 2022 di Ipoh, Perak hari ini.

IPOH – Penganjuran Piala Triatlon Asia (ATC) 2022 yang julung-julung kali diadakan di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah, Perak telah mencapai objektifnya.

Ia mencapai objektif sebagaimana ditetapkan pihak penganjur, Persatuan Triatlon Perak.

Presiden Persatuan Triatlon Perak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dr Khoo Peng Chuan berkata, ATC 2022 yang berlangsung selama tiga hari mulai 25 hingga 27 November dianggap berjaya khususnya dari segi penganjuran dan penyertaan atlet.

“Saya amat bersyukur dan berpuas hati apabila kami berjaya menganjurkan ATC 2022 di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah dari hari pertama hingga terakhir semalam (Ahad). Cuaca amat baik sepanjang tiga hari ATC diadakan.

“Walaupun ini kali pertama kami menganjurkan kejohanan berskala besar, tetapi saya boleh katakan ia satu penganjuran yang cukup baik. Malah, kehadiran peserta dari lima benua termasuk Asia membuktikan betapa hebatnya penganjuran ini.

“Jadi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat termasuk Tourism Malaysia, Tourism Perak, Persatuan Triatlon Malaysia yang menjadikan ATC 2022 di Batu Gajah berjaya dianjurkan dengan begitu baik sekali,” katanya.

Untuk rekod, hampir 90 atlet dari 25 buah negara mengambil bahagian dalam kategori elit lelaki dan wanita, manakala seramai 327 peserta bertanding bagi kategori Olympic Distance (OD) dan Sprint Distance (SD) melibatkan pelbagai umur lelaki dan wanita.

Mengulas lanjut, Peng Chuan berkata, pihaknya belum membuat sebarang kata putus mengenai penganjuran ATC tahun depan memandangkan masih tiada perbincangan lanjut dengan beberapa pihak daripada agensi kerajaan khususnya Tourism Malaysia dan Tourism Perak.

Malah, beliau memberitahu, Persatuan Triatlon Perak sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak untuk menganjurkan ATC pada masa depan yang dilihat mampu memacu ekonomi di negeri itu menerusi sektor pelancongan sukan.

“Sudah tentu kami berminat untuk menjadi tuan rumah sekali lagi bagi kejohanan triatlon antarabangsa seperti ATC. Jadi kami mengalu-alukan pihak di luar sana untuk bekerjasama dalam menganjurkan ATC.

“Kita sudah membuktikan menerusi penganjuran ATC tahun ini apabila dapat menarik penyertaan ramai peserta dari luar negara. Saya diberitahu, atlet-atlet luar negara cukup teruja dapat bertanding di Malaysia khususnya di Perak.

“Bukan senang untuk kita menarik penyertaan atlet dari seluruh dunia bertanding pada ATC kali ini. Jadi saya lihat ATC 2022 di Batu Gajah ini sebagai platform terbaik untuk kita ketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, Persatuan Triatlon Malaysia boleh meyakinkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjadikan kejohanan triatlon antarabangsa seperti ATC sebagai medan mengasah dan mencungkil bakat atlet tempatan.

“ATC ini platform terbaik buat atlet-atlet negara bersaing dengan peserta luar negara yang mempunyai pengalaman cukup luasa. Kita dapat lihat, ramai atlet-atlet muda negara yang mengambil bahagian dalam kategori SD.

“Bagi saya pendedahan itu cukup penting sebelum mereka beraksi di pentas lebih kompetitif. Jadi menerusi kejohanan seperti ATC, kita boleh melahirkan lebih ramai atlet sebelum mereka dipersiapakan menghadapi kejohanan lebih besar,” jelasnya.

Untuk rekod, ATC yang dianggap kejohanan triatlon paling berprestij di rantau Asia kembali diadakan di negara ini selepas kali terakhir berlangsung di Sabah sekitar tahun 1980-an.

Sebagai tuan rumah peringkat terakhir ATC 2022, Perak dipilih sebagai lokasi penganjuran yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Triatlon Malaysia dan Persatuan Triatlon Perak dengan kerjasama Stagemaker Sdn Bhd.

Sebanyak enam kategori utama dipertandingkan pada ATC kali ini iaitu membabitkan lelaki dan wanita elit peringkat umur 23 tahun ke atas; peringkat umur 19 hingga 23 tahun dan peringkat umur 16 hingga 19 tahun.

Setiap peserta akan mengharungi tiga disiplin atau cabaran sukan berbeza bermula renang sejauh 750 meter (m) diikuti berbasikal dengan jarak meliputi 20 kilometer (km) sebelum saingan berakhir dengan larian sejauh 5km.

Lebih menarik, sebanyak hampir 90 peserta dari 25 buah negara termasuk Malaysia telah mengambil bahagian bagi kategori lelaki dan wanita elit.

Selain wakil dari Asia iaitu Uzbekistan, Kazakhstan, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong serta beberapa peserta dari negara jiran Asia Tenggara, penganjuran ATC di Perakkali ini turut berjaya menarik penyertaan wakil Eropah.

Antaranya termasuklah Jerman, Kanada, Sepanyol, Romania, Switzerland, Slovakia dan Luxembourg selain Palestin, Guam, Afrika Selatan dan India.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast