CUEPACS Melayu gaji Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meletakkan harapan tinggi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar barisan menteri dalam dapat mengutamakan penjawat awam yang kompeten  untuk mengisi jawatan utama dalam perkhidmatan awam.

Presiden CUEPACS,  Datuk Adnan Mat tidak mahu sebarang unsur campur tangan politik dalam urusan pelantikan berkenaan.

Ia penting bagi membolehkan mereka yang dilantik benar-benar membantu dan dapat memberikan nasihat yang terbaik kepada jemaah menteri nanti.

“Perkhidmatan awam sendiri ketika ini mempunyai pegawai yang berkelayakan dalam pelbagai bidang dan seharusnya diberi peluang mengikut pengalaman serta kompentensi masing-masing.

“Lantikan daripada luar sudah tentu menyebabkan pembangunan kerjaya dalam perkhidmatan awam akan lebih sempit.

“Unsur-unsur favouritisme juga hendaklah dielakkan terutama dalam hal lantikan jawatan tertinggi kerana ia boleh menjejaskan operasi perkhidnatan awam sekiranya mereka yang dilantik itu tidak kompeten,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Adnan, pegawai yang dilantik hanya disebabkan menjadi ‘kegemaran’ ahli politik dibimbangi tidak boleh melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan terutama dalam memberi nasihat terbaik kepada menteri berkenaan.

Bagaimanapun pada dasarnya, CUEPACS tidak mempunyai masalah bagi lantikan politik yang mempunyai kelayakan yang diperlukan.

“Akan tetapi bagi memastikan kelancaran sesuatu jabatan dapat diteruskan sekiranya terjadi peralihan kerajaan, adalah lebih baik lantikan dibuat dalam kalangan anggota penjawat awam sahaja dan elakkan lantikan politik.

“Mereka yang dilantik Perdana Menteri berdasarkan politik sahaja akan meletak jawatan atau dipaksa melepaskan jawatan apabila suatu kerajaan itu berubah kelak,” katanya.

Tegasnya, ia boleh menjejaskan perkhidmatan kerajaan dan menimbulkan persepsi kurang baik terhadap perkhidmatan kerajaan sedia ada.

Dalam hal tersebut Adnan menjelaskan keutamaan harus diberikan kepada pegawai dalam perkhidmatan awam yang layak daripada segi pengalaman dan kompetensi dalam bidang masing-masing.

“Unsur favouritisme dan lantikan politik harus diketepikan kerana ia boleh mengganggu keharmonian dalam perkhidmatan awam itu sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette