Pertemuan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Putrajaya hari ini sempena Lawatan Khas baginda ke Malaysia.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Brunei mengambil peluang untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada selain meneroka potensi baharu meningkatkan hubungan yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara.

Dalam satu kenyataan Wisma Putra, perkara itu akan direalisasikan menerusi pertemuan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Putrajaya hari ini sempena Lawatan Khas baginda ke Malaysia.

Ia pertemuan julung kali antara Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November lalu.

Lawatan terakhir baginda ke Kuala Lumpur adalah pada 4 hingga 6 Mac 2019 bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 antara Malaysia dan Brunei.

“Malaysia dan Brunei mempunyai hubungan istimewa yang telah lama terjalin melalui persamaan warisan, budaya dan hubungan sesama insan.

“Bertitik tolak daripada hubungan istimewa ini, kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang semasa lawatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wisma Putra, Anwar akan turut meraikan Sultan Hassanal Bolkiah, Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah serta rombongan dalam satu majlis santapan tengah hari.

Brunei Darussalam adalah rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia pada 2021 dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM8.03 bilion (AS$1.94 bilion). – MalaysiaGazette