Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai kepada petugas media ketika tiba di perkarangan Istana bagi menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri Malaysa Kesepuluh di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Pantau PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) meminta kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik sekurang-kurangnya 18 ahli Parlimen wanita ke jawatan menteri atau timbalan menteri.

Gabungan yang diketuai Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) itu berkata, sungguh pun suara wanita diwakili hanya oleh 30 orang wakil rakyat dalam Parlimen namun kebolehan mereka sebagai pemimpin tidak seharusnya diragui.

Malahan menurut pertubuhan yang dianggotai 200 NGO wanita itu, setiap ahli Parlimen wanita mempunyai rekod prestasi yang cemerlang.

Mereka turut mencadangkan jawatan menteri atau timbalan menteri turut diberikan kepada ahli Parlimen pembangkang.

“Kami menggesa pertimbangan yang sedalam-dalamnya 18 orang
yang berhormat wanita dalam parti yang menubuh kerajaan untuk jawatan menteri dan timbalan menteri.

“Demi memperkukuh perpaduan, Pantau PRU15 juga mencadangkan yang berhormat wanita daripada parti pembangkang yang mempunyai pengalaman dan latar belakang kepimpinan yang baik dipertimbangkan.

“Memandangkan perwakilan wanita dalam Dewan Rakyat hanya 13.5 peratus sahaja Pantau PRU15 berharap lebih ramai pemimpin wanita dilantik sebagai senator di Dewan Negara. Setakat ini, terdapat hanya lapan orang wanita (18 peratus) daripada 46 orang senator,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, keputusan PRU15 kali ini mempunyai
hikmah pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan semangat pembaharuan yang luar biasa.

Tatakelola baharu pasca PRU15 temasuk pelaksanaan peningkatan inklusiviti gender demi kepentingan dan kemajuan negara.

Kumpulan itu turut menggesa supaya sasaran dasar afirmatif Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) agar penglibatan 30 peratus wanita dalam badan legislatif dan eksekutif dicapai dalam kerajaan baharu.

Ini kerana wanita merangkumi hampir 50 peratus penduduk Malaysia.

“Gesaan ini bersandarkan kajian yang menunjukkan penglibatan dan perspektif wanita dalam kepimpinan meningkatkan mutu pembuatan keputusan dan pulangan hasil yang amat baik.

“Pencapaian sekurang-kurangnya 30 peratus akan memperbaik imej negara di mata antarabangsa daripada segi kedudukan kepimpinan politik dalam Indeks Jurang Gender Dunia,” katanya.

Sementara itu Pantau PRU15 mengucapkan tahniah kepada Anwar atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10.

Pantau PRU15 menaruh penuh harapan agar Anwar menumpukan perhatian kepada proses penyatuan semula rakyat sebagai sebuah bangsa setelah proses kempen pilihan raya yang disifatkan sebagai memecahbelahkan masyarakat.

Katanya, rakyat mengharapkan sebuah kerajaan yang inklusif dalam agenda pengukuhan perpaduan, pemacuan perkembangan ekonomi dan jaminan keadilan bersandarkan Perlembagaan Persekutuan.-MalaysiaGazette