Empat suspek disyaki ejen bookie pertaruhan wang Piala Dunia Qatar 2022 dalam talian berjaya dicekup polis Sabtu lalu. - Gambar ihsan IPD Sentul.

KUALA LUMPUR – Empat suspek lelaki yang terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian membabitkan Piala Dunia Qatar 2022 di dalam sebuah rumah dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua suspek yang merupakan warga tempatan ditahan pada 26 November lalu jam lebih kurang 10.15 malam dalam satu serbuan di ibu negara.

Katanya, serbuan ke sebuah kediaman di Taman Bukit Maluri Kepong dibuat kerana yang disyaki berlaku kegiatan perjudian online.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan polis berjaya menahan empat lelaki warga tempatan yang merupakan ejen bookie pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022.

“Kesemua suspek yang ditahan adalah berusia lingkungan antara 40 hingga 48 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, pihaknya juga merampas barang-barang berkaitan iaitu empat unit telefon bimbit pelbagai jenama, seunit modem, sebuah tablet, dua unit komputer riba dan sebatang kunci rumah.

Siasatan awal di tempat kejadian itu mendapati kegiatan perjudian itu dibuat di dalam rumah kediaman sebagai taktik mengaburi dan mengelak dihidu pihak berkuasa.

“Malah, geng berkenaan juga dipercayai beroperasi sejak bulan lepas dan setiap perlawanan melibatkan wang pertaruhan sebanyak RM10,000.

“Keseluruhan wang pertaruhan berjumlah RM280,000 membabitkan 28 perlawanan setakat ini,” katanya.

Semua suspek telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan.

Semakan juga mendapati salah seorang daripada suspek yang ditangkap mempunyai satu rekod kesalahan jenayah lampau manakala tiga lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen Seksyen 4(1) (g) ARJT 1953 kerana menguruskan aktiviti perjudian atas talian, Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 kerana menjadi agen perjudian bola sepak dan Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 kerana bermain judi atas talian. – MalaysiaGazette