Rara (tengah) bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sejurus Majlis Pengurniaan Surat Cara Perlantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan hari ini.

KUANTAN – Ketua Angkatan Muda Pakatan Harapan (PH) Pahang, Young Syefura Othman menyambut baik gabungan PH bersama Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Bentong itu yang lebih mesra dikenali Rara berkata, gabungan tersebut merupakan bukti sistem demokrasi  meninggalkan kesannya di Pahang yang kini  menjadi satu pelopor dalam sejarah politik.

“Menariknya situasi selepas Pilihanraya Umum ke-15 kali ini adalah buat julung kalinya kerajaan negeri yang setelah begitu lama diterajui oleh BN kali ini bergabung bersama PH untuk mewujudkan satu kerajaan.

“Dinamik ini adalah yang pertama kali terjadi di dalam sejarah lanskap negeri  apabila tiada gagasan politik yang berjaya mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Rara, kedua-dua pihak dengan jiwa yang besar telah mengenepikan perbezaan, mengadakan rundingan dan syukur ke hadrat Ilahi dengan perkenan Pemangku Raja Pahang kini sebuah kerajaan baru akan ditubuhkan bersama demi kesejahteraan dan kemakmuran seluruh rakyat Pahang.

“Saya menyambut baik gagasan baharu ini dan saya berharap ia dapat membawa satu nafas baru yang segar dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Kerajaan BN yang sudah tentu berpengalaman menjadi kerajaan negeri akan disertai pula oleh PH dan setiap pandangan yang berbeza selama ini diharap bakal melengkapi setiap kelompongan antara satu sama lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast