KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan di beberapa tempat di Semenanjung, Sarawak dan Sabah selama tiga hari bermula hari ini.

MetMalaysia menerusi kenyataan memaklumkan ribut petir dijangka berlaku petang ini di beberapa kawasan di seluruh Semenanjung, Sarawak dan Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Sandakan).

Pada sebelah malam, ribut petir dijangka melanda satu dua tempat di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Sabah (Pedalaman) dan Labuan.

Selain itu, ribut petir dijangka berlaku pagi esok di Sabah (Sandakan dan Kudat) selain hujan di beberapa tempat di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Pahang, Pulau Pinang (kawasan pantai), Negeri Sembilan (kawasan pedalaman) dan beberapa kawasan di Sarawak.

Pada petang Selasa, ribut petir dijangka melanda seluruh Semenanjung dan beberapa kawasan di Sarawak dan Sabah.

Sementara itu, daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit dan Bintulu di Sarawak dan Sabah (Pantai Barat dan Sandakan) pula dijangka hujan malam esok.

Pada Rabu, MetMalaysia menjangka berlaku ribut petir di satu dua tempat di Tawau, Sabah selain hujan di beberapa kawasan di Sandakan dan Kudat, Kelantan, Terengganu, Pahang, kawasan pantai Pulau Pinang dan kawasan pedalaman Johor.

Pada sebelah petang Rabu pula, ribut petir dijangka berlaku di seluruh Semenanjung selain hujan di Terengganu dan Kelantan manakala pada waktu malam ribut petir dijangka berlaku di kawasan pedalaman Pahang dan Sabah.

Hujan juga diramal pada waktu malam di seluruh Semenanjung kecuali Melaka, beberapa kawasan di Sarawak dan Sabah (Tawau, Sandakan, Kudat) dan Labuan.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast